Kebocoran Akaun Zoom: Bagaimana ia berlaku

Kira-kira setengah juta akaun Zoom telah dicuri dan dijual di dalam web gelap minggu lalu. Walau bagaimanapun, kebocoran ini bukan berpunca daripada kecuaian Zoom. Penggodam menggunakan senarai nama pengguna dan kata laluan daripada sistem lain yang telah bocor sebelum ini dan menggunakannya untuk log masuk ke dalam Zoom. Sekiranya berjaya, ini mengesahkan nama pengguna dan kata laluan tersebut adalah sama dengan nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan dengan Zoom. Teknik ini berjaya kerana kebanyakan pengguna menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang sama untuk pelbagai sistem dalam talian yang mereka gunakan.
Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah syarikat keselamatan identiti, SecureAuth, 81% rakyat Amerika menggunakan kata laluan yang sama untuk pelbagai akaun dalam talian. Sekiranya anda menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang sama untuk akaun-akaun dalam talian anda dan maklumat ini telah bocor, anda mungkin terdedah kepada serangan ini pada masa hadapan. Adakah akaun emel, bank, dan media sosial anda menggunakan kata laluan yang sama?

Untuk pengetahuan anda, kes kebocoran akaun seperti ini bukanlah sesuatu yang baru terutama di Malaysia. Pada tahun 2014, 5 juta akaun pengguna Gmail telah dibocorkan di Internet. Di Malaysia pula, Jobstreet melaporkan hampir 3.9 juta maklumat pengguna termasuk nama pengguna dan kata laluan telah bocor pada tahun 2017. Pengguna Netflix di Malaysia pada tahun lepas telah membuat aduan kepada Netflix mengenai akaun mereka yang diceroboh masuk dan digunakan tanpa kebenaran. Pada tahun yang sama juga maklumat kakitangan Universiti Malaya termasuk slip gaji, dan nombor akaun bank telah dilaporkan bocor dan dikongsi di Internet.
Untuk menghalang akaun-akaun dalam talian anda daripada diceroboh adalah disarankan untuk anda menggunakan kata laluan yang berbeza untuk setiap akaun. Ini dapat mengelakkan penggodam daripada mengakses akaun-akaun anda yang lain sekiranya salah satu daripada kata laluan akaun anda diketahui.